Jumaat, 27 Ogos 2010

PAKAIAN BAGI KAUM MELAYU

Kebaya
Baju kebaya biasanya dipakai oleh wanita Melayu dan Indonesia. Pakaian tradisional baju kebaya ini dikatakan berasal daripada kaum Cina yang datang ke Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Lama kelamaan baju kebaya diterima oleh masyarakat tempatan di Kepulauan Melayu. Di pulau Jawa, baju kebaya adalah dipakai oleh golongan-golongan bangsawan dan kerabat-kerabat pemerintah. Seterusnya, baju kebaya kemudiannya dijadikan pakaian rasmi pada zaman penjajahan Belanda. Wanita-wanita Eropah memakai baju kebaya sehingga kini dan mengubahsuainya kepadafesyen mengikut peredaran masa.

Selain baju kebaya biasa, terdapat juga baju kebaya yang dikenali sebagai baju belah kebaya panjang. Baju belah kebaya panjang ini ada berasal dari Johor. Pada asalnya, masyarakat di Johor adalah mewarisi baju belah kebaya panjang ini daripada kerajaan Johor-Riau pada suatu ketika dahulu. Baju belah kebaya panjang adalah sama dengan baju kebaya biasa cuma terdapat perbezaan sedikit daripada ciri-cirinya.

Baju belah kebaya panjang adalah keseluruhannya menutupi anggota badan sehingga mencecah buku lali. Bahagian hadapan baju belah kebaya panjang adalah keseluruhannya menutupi anggota badan sehingga mencecah buku lali. Bahagian hadapan baju ini adalah terdedah dan ditutup dengan kerongsang. Pakaian ini juga dipakai dalam acara-acara rasmi ataupun dipakai pada majlis majlis keramaian.


Sarung

Sarung adalah sejenis pakaian yang dipakai oleh golongan lelaki dan wanita Melayu. Perkataan sarung adalah berasal dari India iaitu Sari, akan tetapi sarung yang dipakai oleh kaum Melayu mempunyai perbezaan dengan sari yang dipakai oleh kaum India.

Pada umumnya, sarung adalah kain yang mempunyai seela kelebaran dan panjangnya dua ela. Pada kebiasaanya, corak kain adalah berbeza-beza antara lelaki dan perempuan. Corak sarung lelaki Melayu biasanya berpetak-petak manakala corak sarung wanita pula mempunyai corak bunga, berwarna cerah dan dibuat seperti kaedah membuat batik. Biasanya sarung adalah diperbuat daripada kain kapas yang ditenun kemudiannya dicelup dengan pelbagai warna untuk menghasilkan corak yang menarik. Corak sarung biasanya dilukis atau dibentuk dengan kaedah canting iaitu kerja-kerja melukis corak pada kain dengan menggunakan alat khas.

Sarung biasanya dipakai oleh kaum lelaki semasa ke masjid untuk bersembahyang jumaat dan dipakai di dalam rumah. Jika pada zaman dahulu, sarung dipakai oleh dukun untuk melakukan upacara ritual, seperti semasa mengubati orang sakit dan dipakai oleh pahlawan dengan keris tersisip di pinggang, pada masa ini sarung pada masa kini dipakai bersama baju Melayu dan dijadikan sebagai pakaian rasmi.

Baju Kurung

Baju kurung adalah berasal dari negeri Johor. Pakaian ini merupakan pakaian tradisional kaum wanita Melayu. Menurut sejarah kewujudan pakaian ini, baju kurung dikatakan wujud dua ratus tahun yang lampau. Baju kurung dikatakan hasil kreatif Sultan Abu Bakar iaitu sultan Johor pada tahun 1866. Selain itu, ada juga cerita yang menyatakan bahawa baju kurung telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Baju kurung dikenakan oleh wanita-wanita di Melaka pada ketika itu.

Pada masa pemerintahan Sultan Abu Bakar, baju kurung adalah menjadi pakaian rasmi bagi wanita. Zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar pada ketika itu dikatakan telah maju. Oleh sebab itu, pemakaian pakaian rasmi di istana dan pejabat-pejabat kerajaan diperkenalkan. Hal ini termasuklah acara-acara rasmi dan protokol di istana.

Pada masa kini, baju kurung ditambah dari segi perhiasannya bagi menambah keanggunannya. Kebanyakan baju kurung diperbuat daripada kain sutera yang halus dan lembut. Baju kurung masa kini ditambah dengan manic dan disulam dengan benang berwarna emas bagi perhiasan baju kurung tersebut. Selain itu, bebagai motif warna juga digunakan bagi membuat corak pada pakaian baju kurung.

Baju kurung kini dijadikan sebagai pakaian rasmi kerajaan Malaysia yang dipakai oleh kakitangan di jabatan-jabatan kerajaan dan juga kakitangan swasta. Baju kurung dijadikan sebagai pakaian kebangsaan di Malaysia. Semua etnik di Malaysia dilihat memakai baju kurung ini walaupun dimana sahaja berada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan