Isnin, 30 Ogos 2010

KEMATIAN MASYARAKAT INDIA

PENGENALAN
Masyarakat India merupakan etnik ketiga terbesar di Malaysia dan juga salah satu kaum yang telah menyumbang ke arah pembentukan sebuah masyarakat majmuk di negara kita. Seperti masyarakat lain, masyarakat India juga kaya dengan ciri-ciri kebudayaan mereka dan masih mengekalkan kebudayaan tersebut sehingga kini. Adat resam yang diamalkan oleh masyarakat India mempunyai banyak persamaan dengan kebudayaan masyarakat Melayu. Ini jelas terlihat dalam aspek kelahiran dan perkahwinan. Seperti juga masyarakat lain, masyarakat India terdiri daripada pelbagai suku kaum, justeru itu maklumat berikut hanya memaparkan adat resam masyarakat India secara umum.

Bagi masyarakat India, mereka mempercayai konsep kelahiran semula, iaitu kematian adalah ibarat tidur dan mereka akan bangun selepas tidur. Sarjana India juga menyatakan kematian adalah perpisahan roh dan jasad, di mana jasad akan hancur, tetapi kembali ke alam barzakh . Dalam masyarakat India, mayat akan dibakar atau dikebumikan. Untuk melaksanakan upacara ini, pelbagai adat tertentu akan dilakukan.
Semasa Kematian
Sekiranya seseorang itu telah meninggal dunia, mayat akan diletakkan di ruang tamu. Kepala mayat dihadapkan ke arah selatan dan sebuah lampu minyak atau kaamaatci amman vilakku dipasang dinyalakan. Kemudian sebiji kelapa terbelah dua dan sirih pinang diletakkan berhampiran si mati. Kemenyan dan kapur barus diasap sebagai simbol ketenangan jiwa si mati. Serbuk suci atau tiruniiru disapu pada dahi si mati sebelum disembahyang. Sepanjang mayat berada di dalam rumah, si mati perlu dijaga dengan sebaiknya. Kaki dan tangan mayat perlu diluruskan, ibu jari tangan dan kaki diikat dengan kain putih dan diletakkan ke dada. Mata dan mulut mayat juga perlu ditutup rapat. Setelah itu barulah si mati dibalut dengan menggunakan kain. kunyit disapu pada mata untuk membunuh kuman dan seterusnya duit syiling diletakkan di atas dahi. Sirih pinang ditumbuk dan dimasukkan ke dalam mulut dan lubang hidung akan disumbatkan dengan kapas. Air mawar direnjis dan mayat turut diasapkan dengan kemenyan yang dibakar supaya tidak berbau. Untuk menunjukkan kesedihan, gambar-gambar yang tergantung diterbalikkan dan barang-barang perhiasan dibawa keluar dari ruang tamu. Lagu-lagu suci seperti teevaaram, tiruvaasakam dan seumpamanya dinyanyikan serta diimainkan sehingga ke tanah perkuburan. Tujuannya agar roh si mati sentisa tenang dan aman.
Mayat akan dimandikan terlebih dahulu dan dibaringkan di atas katil di ruang tamu atau halaman rumah. Kaum lelaki yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan si mati sahaja boleh membawa air dalam jumlah yang ganjil. Air tersebut diperolehi dari sungai, perigi atau sumber-sumber air yang lain, kecuali air paip. Buyung yang berisi air akan ditutup dengan menggunakan kain dhoti untuk mengelakkan habuk memasuki air tersebut. Kaum wanita pula akan menyambut air tersebut yang digunakan untuk memandikan mayat. Sebelum dimandikan, minyak dan araippu digunakan untuk disapukan pada kepala sebagai mandian terakhir. Sapuan minyak ini dilakukan oleh ahli keluarga dan diikuti oleh saudara mara terdekat. Belakang tapak tangan digunakan untuk menyapu minyak ini dan bukannya menggunakan tapak tangan sebagaimana lazimnya. Mayat seterusnya dimandikan oleh orang yang telah berumur. Selepas dimandikan, si mati akan dipakaikan dengan pakaian baru iaitu sari bagi mayat perempuan dan dhoti bagi mayat lelaki. Mayat yang sudah dibersihkan itu akan diletakkan di ruang tamu sebagai langkah menghormati tetamu.
Upacara Menanggalkan Thaali
Thaali vaangutal merupakan upacara menanggalkan thaali semasa berlakunya sesebuah kematian dalam sesebuah keluarga. Thaali iaitu rantai suci perkahwinan hanya boleh ditanggal oleh seorang isteri setelah suamiya meninggal dunia. Dalam upacara tersebut, si isteri hendaklah duduk di sebelah si mati dan dijirus dengan sebuyung air semasa mayat suaminya dimandikan. Kemudian bunga akan dikalungkan pada leher balu dan kemudian bunga tersebut dikalungkan pada si mati. seterusnya seorang wanita yang sudah berusia dan mempunyai hubungan kekeluargaan akan memegang tangan si mati sambil mengalungkan kalungan bunga ke leher balu dan proses ini dilakukan sebanyak tiga kali. Balu tersebut dikehendaki meletakkan kalungan bunga ke dalam dulang yang berisi minyak, bunga dan susu yang dibawa oleh seorang perempuan lain. Ini dilakukan seolah-olah menunjukkan si suami membuangkan thaali dari leher balu. Thaali itu seterusnya akan dimasukkan ke dalam dulang dan disimpan dalam rumah.
Upacara Vaaikkarisi
Setelah dimandi dan dihias dengan cantik, mayat akan dimasukkan ke dalam keranda. Kapur barus dimasukkan bersama supaya mayat tidak berbau. Kemudian ke dalam mulut mayat akan dimasukkan sedikit makanan sebagai menandakan pemberian terakhir dan inilah yang dinamakan vaaikkarisi. Makanan yang akan dimasukkan ke dalam mulut mayat berupa beras yang diletakkan di dalam sebuah dulang dan diletakkan berhampiran kepala mayat. Sebelum dimasukkan ke dalam mulut mayat, beras akan diarak dari kiri ke kanan. Duit syiling yang diletakkan di dalam dulang yang sama dibalut dengan kain putih. Ini dilakukan oleh kaum perempuan sahaja. Upacara vaaikkarisi akan dilakukan oleh kaum lelaki di tanah perkuburan pula, justeru itu kaum perempuan amat dilarang turut serta ke tanah perkuburan. Sekiranya si mati mempunyai cucu atau cicit, mereka dikehendaki memegang neippantam. Neip bermaksud minyak sapi dan pantam adalah obor. Beberapa batang kayu kecil akan dibalut di bahagian hujung dengan menggunakan kain yang disapu dengan minyak sapi dan dinyalakan. Cucu atau cicit tersebut dikehendaki mengelilingi mayat mengikut lawan jam sebanyak tiga kali. Pada masa yang sama lagu-lagu suci dimainkan. Saudara mara yang terdekat akan memberi sari atau dhoti kepada si mati sebagai hadiah terakhir. Keranda akan ditutup dan diangkat untuk dibawa ke tanah perkuburan, pada masa yang sama ucapan tenna adudaiya shinanee pottri disebut beberapa kali sebagai menandakan upacara tersebut telah direstui oleh tuhan. Ahli-ahli keluarga akan mengelilingi mayat mengikut lawan jam sebanyak tiga kali sebagai tanda penghormatan.
Kollic Catti
Kollic catti bermaksud periuk tanah liat yang mengandungi api. Periuk tersebut diangkat dengan menggunakan pelepah kelapa yang dibelah tiga di bahagian hujung dan diikat pada periuk. Kollic catti dibawa oleh ahli keluarga si mati samada anak ataupun bapa. Anak sulung melakukan untuk bapa yang telah meninggal dunia dan anak bongsu untuk ibu. Seseorang yang membawa kollic catti mengiringi mayat. Sebelum itu pembawa kollic catti dikehendaki mencukur rambut. Ini menunjukkan bahawa mereka akan hidup lebih bahagia seperti rambut yang baru tumbuh. Ada juga yang mencukur janggut atau misai sebagai menggantikan rambut. Pada masa yang sama sebuah nyiru diisikan dengan bahan-bahan seperti padi goreng, biji sawi dan bijan. Sepanjang perjalanan, bahan-bahan tersebut ditabur dan setiap bahan-bahan tadi mempunyai perlambangan yang tersendiri.
Pengebumian
Mayat orang India akan diusung ke tanah perkuburan dengan menggunakan pengusung. Apabila tiba di tanah perkuburan, pengusung perlu membayar duit kepada penyelenggara sebagai upah mengorek liang lahad. Keranda akan digerakkan beberapa kali sebelum menghampiri liang lahad. Pergerakan dimulakan dengan dengan mengubah bahagaian kaki ke kubur dan kemudian bahagian kepala. Ini adalah seperti pergerakan bayi yang berada di dalam kandungan. Oleh itu si mati dipercayai berada di dalam perut Dewi Bumi. Kemudian keranda diletakkan bersebelahan dengan kubur bagi mayat yang dikebumikan atau diletakkan di atas kayu api unyuk dibakar. Duit syiling dimasukkan ke dalam dhoti dan diletakkan di antara kaki mayat, lalu diambil oleh pengurus kubur sebagai tanda keizinan mayat dikebumikan. Setelah itu upacara sembahyang dilakukan oleh semua yang berada di situ.
Pembawa Kollic catti atau buyung dikehendaki mengelilingi mayat sebanyak tiga kali menurut arah jam. Kemudian diikuti oleh pengurus mayat yang akan menebuk kollic catti dengan menyebut 'sorkam seer, kaiulaasam seer' berulang kali. pada pusingan ketiga, pembawa kollic catti berada di hadapan mayat dan duduk melutut tetapi tidak menghadap mayat. Kemudian tiga batang kayu yang menyala dibakar dan disusun ke tanah satu persatu. Upacara ini dilakukan untuk mengurangkan kesedihan keluarga si mati. Setelah mayat dikebumikan, satu bentuk manusia akan dilukis di atas kubur. Satu lubang akan dibuat di bahagian kepala dan susu akan dicurahkan pada lubang tersebut. Ada juga yang memasukkan bijirin ke lubang tersebut. Selesai upacara tersebut, semua yang hadir perlu ke rumah si mati untuk upacara penyempurnaan adat pengebumian sebelum balik ke rumah.
Selepas Kematian

Selepas selesai upacara pengebumian, beberapa adat seperti berikut akan dilakukan.
Membersihkan Rumah
Rumah perlu dibersihkan sebaik sahaja mayat dibawa ke kubur. lampu minyak dinyalakan dibekas tempat pembaringan mayat dan selepas itu ahli-ahli keluarga dikehendaki mandi untuk membersihkan diri selepas upacara pengebumian dijalankan. Makanan yang terdiri daripada sayur-sayuran atau haiwan yang tidak berdarah akan dihidangkan untuk ahli-ahli keluarga si mati. Sebaldi air akan diletakkan di hadapan rumah dan lampu minyak sentiasa dinyalakan. selain itu debu suci dan garam disertakan. Kemudian ahli-ahli keluarga dikehendaki menyentuh garam dan menyapu pada dahi sebelum masuk ke dalam rumah. Air yang berada di dalam baldi digunakan untuk mencuci kaki dan selepas itu berakhirlah sudah upacara pengkebumi. Bagi mereka yang membawa kollic catti akan pulang ke rumah untuk melakukan upacara kollic catti. Pembawa kollic catti hendaklah mandi di sungai atau kolam dan kemudian barulah boleh masuk ke rumah. Ini adalah menunjukkan tamatnya upacara kollic catti.
Mengumpul Abu Mayat
Bagi mayat yang dibakar, abu mayat akan dikumpulkan keesokan harinya. Susu terlebih dahulu disiram pada abu mayat untuk menyejukkan bara api. Kemudian abu bahagian kepala dimasukkan ke dalam sebuah periuk , manakala abu yang lain dimasukkan ke dalam periuk yang berasingan. Abu yang telah dimasukkan ke dalam periuk akan disembahyangkan oleh ahli keluarga. Terdapat dua cara dalam pengurusan abu mayat di kalangan masyarakat India, iaitu samada abu mayat ditanam atau dimasukkan ke dalam kain kuning dan dilepaskan ke laut.
Berkabung
Masyarakat India seperti juga masyarakat lain akan berkabung selepas berlakunya sesebuah kematian. Tempoh mula berkabung samada lapan atau enam belas hari selepas kematian. sekiranya mereka berkabung selepas lapan hari kematian, saudara-mara dan sahabat-handai akan berkumpul di rumah si mati dengan membawa pelbagai jenis juadah tradisional termasuklah sayur-sayuran dan buah-buahan. Semua ini dibawa untuk dipersembahkan kepada si mati. Gambar atau potret si mati diletakkan di atas almari atau dinding dan kemudian dikalungkan dengan bunga yang menarik. Di sisi gambar tersebut pula dinyalakan lampu minyak dan bunga ditabur. Kemudian upacara sembahyang dimulakan dengan meminta Tuhan supaya melindungi si mati. pada masa yang sama nyanyian lagu-lagu suci dimainkan. setelah itu makanan dihidangkan kepada para tetamu.
Berkabung pada hari keenam belas pula dipanggil sebagai karumaati iaitu hari bersembahyang. Sebuah khemah yang lengkap dengan kerusi didirikan. Potret si mati dihias dengan cantik dan seorang pedanda dijemput untuk upacara sembahyang. Batu-bata diikat dengan benang dan dibalut dengan kain merah dan dimasukkan ke dalam periuk. Kemudian batu tersebut dibasahkan dengan air, susu, air kelapa muda dan air mawar. Upacara basahan batu-bata itu dinamakan sebagai kal niruttutal atau upacara mendirikan batu. Pada masa yang sama lagu-lagu suci dimainkan. Upacara sembahyang dilakukan sebanyak tiga kali. Setiap kali sembahyang, makanan dihidangkan kepada para tetamu. Sembahyang yang pertama dilakukan pada pukul sebelas malam. Sembahyang yang kedua dilakukan pada pukul dua belas malam dan yang ketiga pada awal pagi. Hari berikutnya pedanda mengambil rumput dan membuat bentuk seperti keranda. Rumput akan dibakar dan mentera serta doa dibaca, bertujuan agar roh si mati sentiasa dalam keadaan tenang dan aman. Selesai upacara bersembahyang, pedanda akan dibayar dengan upah berbentuk wang ringgit, sayur-sayuran dan buah-buahan. Dengan ini, berakhirlah upacara karumaati.

2 ulasan:

  1. How to eat titanium dioxide in food - Tatiana Rose Farms
    How to eat titanium mens titanium watches dioxide in food · 1. Turn orange, red, green, blue or red · 2. titanium earrings sensitive ears Turn orange, red, green, blue or red · 3. Turn orange, orange or red · 4. titanium bikes Take titanium solvent trap out infiniti pro rainbow titanium flat iron of the

    BalasPadam